Pages - Menu

Wednesday, 8 April 2009

Sosial : Siapa Yang Ponteng?

Bismillahirrahmanirrahim.

Siapa Yang Ponteng?

Fakta KES :
Masalah ponteng sekolah tiba-tiba menjadi perhatian umum apabila akhbar melaporkan 50% daripada pelajar di sebuah sekolah menengah di Felda, Setiu Trengganu, mencatatkan hanya 50 peratus pelajar sahaja yang ke kelas terutamanya pada hari Ahad dan Khamis.

Siapa Yang SALAH?
Dengan cepat guru dipersalahkan. Mereka dikatakan ‘tidak pandai mengajar’ (perkataan yang digunakan oleh pihak media) sehingga menyebabkan masalah ponteng di kalangan pelajar. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Md. Khir berkata, segelintir guru yang tidak kreatif dalam pengajaran sehingga menyebabkan sesi pengajaran membosankan, akan mendorong pelajar ponteng kelas.

Malah, menurutnya, tiada aktiviti yang menyeronokkan serta berfaedah yang boleh diisi terutamanya selepas musim peperiksaan turut mendorong ke arah perbuatan terbabit.

Beliau berpendapat subjek yang diajar tiada kaitan dengan keperluan pelajar dan tidak minat belajar juga sering dikaitkan berlakunya gejala ponteng.

Mahadzir juga memberitahu, pihak pengurusan sekolah perlu berusaha untuk memastikan sekolah menjadi tempat yang seronok kepada para pelajar mereka bagi menangani masalah ini. Selain itu, hubungan mesra antara guru dengan murid, kemudahan untuk menyokong kehadiran mereka ke sekolah serta keprihatinan ibu bapa dan masyarakat dijangka dapat menyelesaikan isu tersebut.

Faktor Lain Yang Mendorong ?
Sementara itu Menteri Pelajaran Datuk Hishammuddin Tun Hussein mengakui masih banyak faktor lain menjadi punca masalah ponteng sekolah. Kementerian beliau menyedari gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar bukan hanya disebabkan guru yang `dikatakan tidak pandai mengajar' serta ketiadaan aktiviti berfaedah selepas musim peperiksaan.

Oleh itu, beliau menuntut usaha bersepadu antara pihak kementerian, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa dan kementerian-kementerian lain untuk turut bersama membanteras gejala ponteng berkenaan.

Beliau berpendapat isu ponteng tidak boleh dilepaskan kepada guru dan sekolah sahaja, ibu bapa perlu memainkan peranan kerana menurut pemerhatian kementeriannya, kebanyakan ibu bapa tidak tahu-menahu langsung aktiviti anak-anak mereka.

Selaras itu, kata beliau, peranan ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), NGO, pihak polis dan kementerian-kementerian lain akan diambil kira dalam usaha memperkasakan perancangan kementerian.

Apa Tindakan Seterusnya?
Dalam pada itu, Hishammuddin berpendapat, golongan guru perlu lebih kreatif dalam kaedah pengajaran mereka agar dapat `menangkap' dan mengukuhkan minat para pelajar. Dengan pembangunan dan perubahan kini yang melahirkan anak-anak yang lebih moden, guru-guru dituntut mempunyai kemahiran lebih daripada hanya kemahiran mengajar. Mereka tidak harus menumpukan kepada aspek akademik semata-mata tetapi mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh.

Mengulas isu yang sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu guru-guru yang dikenal pasti `tidak pandai mengajar' diberi kursus latihan dan kemahiran pengajaran tambahan sebagai salah satu usaha membendung masalah ponteng sekolah yang semakin berleluasa.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, kursus itu perlu supaya penguasaan para guru dalam teknik pengajaran mampu dipertingkatkan untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar. Para guru perlu berusaha menjadikan suasana pembelajaran di bilik darjah sentiasa segar bagi memupuk emosi seronok dan minat yang berkobar-kobar di kalangan pelajar untuk belajar.

Reaksi daripada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam perkara ini agak keras. Mereka dengan tegas menolak dakwaan kononnya guru `tidak pandai mengajar' menjadi punca masalah pelajar ponteng sekolah semakin berleluasa.

Mereka meminta Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Md. Khir supaya tidak menuding jari menyalahkan guru semata-mata dalam isu berkenaan. Mereka meminta Mahadzir menyiasat perkara berkenaan dengan lebih mendalam kerana ia bukan isu baru dan jika terdapat guru yang bermasalah, semua pihak yang bertanggungjawab harus bekerjasama menyelesaikannya.

Mereka merasa tidak puas hati kerana dipersalahkan dalam hal ini. Banyak punca menyebabkan pelajar ponteng seperti kekurangan guru di sekolah, guru kerap dipanggil berkursus, mengikuti seminar dan menghadiri mesyuarat pada akhir tahun.

Persatuan itu juga mendakwa 40 peratus waktu guru digunakan untuk tugas perkeranian, pelajar terlalu tertekan dengan trend kecemerlangan dalam peperiksaan, tarikh peperiksaan kebangsaan kurang sesuai dan pengaruh luar seperti Internet, televisyen dan rakan sebaya, merupakan punca lain yang menyebabkan masalah ponteng sekolah.

Malah NUTP meminta Bahagian Pendidikan Guru meneliti semula sama ada kurikulum untuk latihan guru yang diguna pakai sekarang sesuai dengan peredaran masa.

Sementara itu Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat pula berpendapat, Kementerian Pelajaran perlu menyediakan kursus motivasi kepada guru bagi membolehkan mereka mendapat inspirasi baru dan lebih kreatif menyediakan program menarik minat pelajar. Tekanan kerja dan kurang pendedahan dengan program kursus yang bersesuaian dapat mengakibatkan guru merasa bosan dan ketandusan idea kreatif untuk mendidik.

Saya menjangkakan isu ini akan mengisi ruangan pelbagai media buat beberapa ketika. Semua orang akan memberikan pendapat. Ada yang membincangkan masalah sebenar. Ada pula yang akan membahaskan maruah golongan tertentu yang merasakan mereka dipersalahkan. Selepas itu ia akan dilupakan dengan begitu sahaja, seperti juga yang pernah berlaku sebelum ini.

Masalah ponteng bukanlah masalah yang baru. Punca timbulnya masalah ponteng juga bukan merupakan sesuatu yang baru. Perbahasan boleh diteruskan. Perbincangan boleh dilanjutkan dan tuduh menuduh biarlah sampai ke tujuh keturunan, tetapi yang nyata masalah ini tidak akan selesai.

Jika hendak ditunggu fakta dan data dalam bentuk statistik yang dikumpul, dianalisa dan dibuat keputusan selepas beberapa siri mesyuarat, gejala ponteng yang ada akan tetap berleluasa. Jika kita merasa tersinggung kerana sesuatu yang benar dipaparkan di depan muka kita dan mencari alasan untuk dialihkan pandangan serta mencari mangsa lain untuk menanggungnya, alamatnya tidak akan dapat selesai masalah ponteng sekolah.

Kalau setiap guru meluangkan sedikit masa yang lebih, biar dalam keadaan yang sibuk dengan apa jenis kerjapun, untuk mengambil tahu tentang masalah pelajar, lebih waspada dengan perwatakan dan tingkah-laku pelajar-pelajar di bawah kawalannya, masalah ponteng akan dapat dikesan dan dibendung terlebih awal.

Jangan tunggu kita dilantik sebagai guru disiplin atau guru kaunseling barulah kita hendak mengambil berat tentang latar belakang dan masalah pelajar, lakukan sahaja asalkan kita seorang guru, cikgu. Jangan ditunggu arahan ketua bidang, pengetua, pegawai pendidikan bahagian, pengarah pendidikan mahupun menteri pelajaran, lakukan sahaja apa yang baik untuk pelajar. Itu memang tugas kita.

Kalau setiap ibu bapa meluangkan sedikit masa yang lebih, biar dalam apa jua keadaan, untuk mengetahui gerak-geri anak-anak kita, mengetahui perkembangannya di sekolah dan melibatkan diri dengan aktiviti di sekolah tentunya kita tidak akan dipanggil oleh pihak sekolah apabila anak kita tidak pergi kesekolah. Jangan sekali-kali membandingkan wang ringgit pekerjaan dengan masa depan anak-anak.

Kalau setiap ketua, biar ketua besar atau kecil, ketua tua atau muda, ketua lelaki atau perempuan, dapat melaksanakan tugas bersama-sama dengan orang di bawah jagaannya, seperti saranan Perdana Menteri, “Bekerja dengan saya bukan bekerja untuk saya” maka apa juga masalah yang dikesan bukan lagi menjadi masalah orang lain atau orang bawahan kita tetapi masalah kita bersama. Kita tidak akan lagi tuduh-menuduh sekadar melindungi diri dan lari atau ponteng daripada masalah yang sebenar.

Kalau kita dapat melakukan sedikit lebih daripada apa yang sedang kita lakukan, tanpa disuruh atau dipinta, kita akan dapat melihat hasilnya dalam masa yang terdekat. Bezanya, mahu atau tidak?

Jangan kerana pelajar ponteng sekolah kita juga ponteng pejabat, ponteng kerja, ponteng tugas dan ponteng tanggungjawab! Kita semua diperhatikan dan kita semua dinilai atas apa yang kita lakukan dan apa yang kita perkatakan.

Sumber Asal (sebelum ditokok tambah) : http://cikgulee.blogdrive.com [bekas guru Hidayah]

No comments: